Sabah mahu penurunan kuasa Pendidikan, Kesihatan daripada Kerajaan Persekutuan dimuktamadkan dalam masa terdekat – Hajiji

KOTA KINABALU: Sabah berharap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memuktamadkan penurunan kuasa pendidikan dan kesihatan kepada Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata perkara itu selaras dengan apa yang dibincangkan menerusi Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau yang menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai penurunan kuasa itu berkata, sistem pendidikan dan kesihatan di negeri ini dijangka terus maju seiring di Semenanjung dengan adanya lebih autonomi dalam kedua-dua bidang.

“Bagi bidang pendidikan, penurunan kuasa itu yang tertumpu kepada aspek pentadbiran dan pengurusan, memudahkan Kerajaan Negeri melaksana dan mempercepatkan setiap projek pembangunan pendidikan di samping pelantikan perjawatan guru, seperti yang diharapkan rakyat negeri ini.

“Usaha desentralisasi kuasa pendidikan ini juga secara tidak langsung membuktikan kepercayaan Kerajaan Persekutuan kepada jentera Kerajaan Negeri khususnya dalam meningkatkan keupayaan sistem pendidikan di negeri ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-34 (ABCNS) di sini, hari ini.

Hajiji berkata beliau yakin dengan adanya autonomi itu, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mempunyai fleksibiliti dalam pelbagai isu yang berkaitan dengan pendidikan di negeri ini.

“Dalam hal ini, pegawai di peringkat negeri mempunyai pengetahuan yang lebih baik mengenai permasalahan rakyat di kawasan sendiri.

“Dengan itu kawalan dan penyeliaan yang lebih baik harus dilaksanakan dan ini secara tidak langsung membolehkan isu atau permasalahan rakyat dapat diurus dengan lebih cekap dan cepat,” katanya.

Dalam bidang pendidikan, katanya Kerajaan Negeri membelanjakan RM35 juta pada 2022 dan RM43 juta pada tahun ini bagi melaksanakan beberapa inisiatif pendidikan untuk memperkukuh dan melahirkan modal insan berilmu di negeri ini.