Bot Karam di Sandakan, lima mangsa selamat, seorang kanak-kanak hilang

SANDAKAN: Seorang kanak-kanak lelaki hilang dikhuatiri lemas dan lima mangsa selamat apabila bot yang dinaiki karam di perairan Tanjung Batu dekat sini, petang tadi.

Pengarah Zon Maritim Sandakan Kapt Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan pada pukul 4 petang tadi bagi mengesan kanak-kanak malang berkenaan disamping Pangkalan Hadapan CARILAMAT diwujudkan bagi mengkoordinasi pencarian tersebut.

Katanya mangsa dikenali sebagai Romy bin Azlan berusia tujuh tahun dimaklumkan bersama keluarga menaiki bot terbabit dipercayai bertolak dari jeti Pulau Timbang menuju Ke Kampung Mumiang dengan membawa enam orang penumpang termasuk dua orang kanak-kanak.

Bot tersebut kemudiannya dipercayai terlanggar satu objek terapung menyebabkan ia telah hilang kawalan lalu terbalik, katanya menerusi satu kenyataan.

Zainudin berkata Bot Peronda Banggi 14 dan Bot Kilat 8 dari Zon Maritim Sandakan telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk melaksanakan pencarian awal mangsa.

Katanya turut membantu pencarian adalah Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bot nelayan tempatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut diminta berhubung secara terus kepada Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Sandakan ditalian 089-229504 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah 088-387774 yang beroperasi 24 jam.