KLANG: Jentera Barisan Nasional (BN) Sabah perlu bergerak dalam satu pasukan dengan parti lain dibawah Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kemenangan calon gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata jentera BN Sabah yang diamanahkan menjaga 12 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili oleh UMNO/BN perlu menunjukan komitmen yang tinggi semasa berkempan termasuk membantu calon-calon kerajaan perpaduan di kawasan DUN yang lain.
“Setakat ini jalinan kerjasama jentera parti kerajaan perpaduan PH-BN berjalan baik dan saya harap mementum ini akan berterusan sehingga ke hari pengundian bagi mempastikan kemenangan berpihak kepada calon-calon Kerajaan Perpaduan untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRN ini,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang diselaraskan oleh UMNO Sabah baru-baru ini.
Semasa lawatan itu, Bung Moktar meluangkan masa ke kawasan DUN 44 Selat Klang bertemu calon BN, Ketua Bahagian UMNO Kapar Datuk Roslee Abd Hamid dan turut memberikan suntikan semangkat kepada jentera parti di kawasan tersebut.
Mengiringi beliau Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin.
Menurut Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah amanah yang diberikan oleh pucuk pimpinan bagi membantu berkempen di Selangor akan menjadi pembuka lembaran baharu politik negara dengan gerak kerja yang lebih padu dan tersusun daripada setiap ahli serta pendokong parti di dalam PH dan BN khususnya bagi menawan hati pengundi yang sebahagiannya daripada golongan cerdik pandai.
Beliau berkata kemenangan di Selangor tidak hanya berkisar kepada kejayaan PH dan BN semata-mata, sebaliknya ia menjadi simbol kepada usaha Kerajaan Perpaduan mengangkat martabat Malaysia kembali disegani di rantau ini.
“Kita faham di Selangor ini ramai orang yang cerdik pandai serta matang dalam politik, kejayaan kali ini akan menentukan standard baharu politik di dalam negara ini,” katanya
Sehubungan dengan itu Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mahu setiap gerak kerja jentera parti perlulah dengan semangat, keikhlasan selain niat yang betul.
Beliau mengingatkan jentera UMNO/BN dari Sabah agar melaksanakan kempen secara sopan dan berhemah dengan menghormati adat resam masyarakat setempat.