KUALA LANGAT: Semua jentera pilihan raya UMNO Bahagian Libaran diingatkan supaya sentiasa menjaga akhlak, tata susila dan adab sopan santun semasa membantu gerakan kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Ketua Bahagian UMNO Libaran Datuk Suhaimi Nasir berkata ia bagi menjaga nama baik UMNO Libaran secara amnya dan UMNO Sabah secara keseluruhannya.
“Beri kerjasama dengan baik dalam membantu kempen jentera UMNO pada PRN yang mana UMNO Sabah diberi tanggungjawab membantu calon UMNO di PRN Selangor,” katanya ketika meluangkan masa singgah berjumpa dengan petugas – petugas UMNO Bahagian Libaran di DUN Sijangkang, hari ini.
Pada masa sama, Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah menzahirkan penghargaan atas semangat petugas-petugas UMNO Sabah bagi membantu calon UMNO yang bertanding di PRN enam negeri.
Katanya mereka diharapkan memberikan komitmen tinggi sepanjang berkempen akan datang sehingga hari pengundian pada 12 Ogos ini.
Menurutnya mereka juga diingatkan untuk mengelakkan terlibat dalam perkara-perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan suasana harmoni sepanjang kempen PRN ini.