KOTA KINABALU : Sabah mengutip sejumlah RM5.3 bilion hasil royalti kayu balak di bawah Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) dari tahun 1999 hingga 2023.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, jumlah itu mewakili purata hasil tahunan sebanyak RM213 juta kepada negeri, manakala inisiatif SFMLA telah mewujudkan kira-kira 40,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.
“Tidak dapat dinafikan bahawa masih ada yang skeptikal atau memandang negatif terhadap aktiviti SFMLA di Sabah.
Namun, janganlah kita terpengaruh dengan pandangan tidak membina atau hasutan yang tidak menyumbang kepada kemajuan Sabah,” katanya.
Teksnya dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.
Hajiji berkata, Sabah merupakan perintis dalam pengurusan hutan mampan (SFM) melalui jalinan kerjasama pintar dengan sektor swasta selepas pelaksanaan SFMLA jangka panjang diperkenalkan pada 1997.
“Konsep pengurusan hutan mampan ini banyak membantu Kerajaan Negeri menguruskan kawasan hutan simpan Sabah yang luas.
“Ia bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi negeri melalui sektor pembalakan dan industri berasaskan kayu,” jelas Hajiji.
Menurutnya, setakat ini, kira-kira 1.4 juta hektar Hutan Simpan Kelas II di Sabah telah dilesenkan kepada 43 pemegang konsesi SFMLA.
“Sejak diperkenalkan, sembilan lesen telah dibatalkan kerana gagal mematuhi syarat-syarat perjanjian.
“Namun, majoriti pemegang konsesi SFMLA menunjukkan komitmen mereka dalam menguruskan hutan secara mampan di bawah kawasan konsesi masing-masing” katanya.
Ketua Menteri turut menyeru semua pemegang konsesi SFMLA yang terlibat dalam pengurusan ladang hutan untuk menggandakan usaha mencapai sasaran penanaman di kawasan masing-masing.
“Ini penting bagi memastikan matlamat kita di bawah Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022–2036, iaitu sekitar 18,000 hektar ladang hutan setahun, dapat dicapai dengan jayanya,” katanya.