PRN17: Sokong GRS Jalan Solo, Lebih Berpendirian – PERSANTUN

KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu terus konsisten memperjuang ‘trademark’ politik tempatan dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Sekiranya ‘rakan-rakan’ parti nasional yang telah menerima ‘madu’ serta kelebihan daripada tampuk pemerintahan sedia ada dibawah pimpinan Ketua Menteri sudah berpatah arang, ada lebih baiknya supaya gerakan solo dipertimbang sebaik mungkin.

Presiden Persatuan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berpendapat, daripada terus dibiarkan segelintir daripada mereka mengambil kesempatan, GRS perlu berjiwa besar untuk membuat haluan sendiri sekiranya rundingan menemui jalan buntu nanti.

Katanya, umum mengetahui semalam Sabah dikejutkan dengan pengumuman PH dan BN pusat bahawa mereka akan bergabung menghadapi PRN di Sabah.

“Perkara ini sebenarnya sudah dihidu dari awal lagi namun ia juga sebenarnya bagus kerana mereka telah membuka pekung mereka sendiri terhadap pendirian politik mereka selama ini.

“Meskipun selama ini, mereka ini mendakwa bersama GRS, akan tetapi tidak pula dinyatakan secara tuntas atau desakan mereka terhadap pusat yang mana mereka mahu bermati-matian dengan GRS untuk menghadapi PRN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Najib berkata, kenyataan balas Pengerusi GRS, Datuk Seri Pangliam Hajiji Noor GRS sedia bertanding secara solo sekiranya gabungan mereka tidak menjadi ia merupakan lebih berpendirian dan bersifat kenegerian.

Terdahulu, Hajiji dalam kenyataan media hari ini menjelaskan GRS bersedia bertanding solo sekiranya PH dan BN Sabah mengambil keputusan muktamad untuk berkerjasama dalam PRN akan datang.

Beliau berkata, GRS akan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan bersama BN-PH di ibu negara, kedua-dua gabungan terbesar kerajaan Perpaduan itu bersetuju untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.