TAWAU: Sabah berjaya merekodkan kes penculikan sifar sejak 15 Januari 2020 lalu, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
Abdul Halim berkata, ia berikutan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sentiasa memberi komitmen sepenuhnya untuk mengawal keselamatan di negeri ini.

Katanya, ia termasuklah melaksanakan pemeriksaan fizikal terhadap lebih 5.2 juta orang, kenderaan dan bot sejak 1 Januari 2020 sehingga 28 Februari ini.
“Daripada jumlah itu, seramai 1,907 orang ditahan, manakala 1,118 buah kenderaan serta bot dirampas atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Selain itu, katanya, ESSCOM juga berjaya menangani jenayah penyeludupan barang dan Pendatang Tanpa Izin (PTI) yang merangkumi jumlah nilai rampasan bernilai RM90 juta.
Menurutnya, jumlah keseluruhan nilai rampasan untuk tempoh yang sama bernilai RM90 juta di mana penyeludupan barang kawalan dan tidak bercukai berjumlah RM55 juta adalah yang tertinggi.
“Rampasan dadah dan barang milik PTI masing-masing menyumbang kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM34.4 juta.
“Seramai 1,890 orang PTI dan 294 buah kapal atau bot yang cuba masuk secara haram melalui kawasan sempadan perairan negara telah diusir,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Ihya Ramadan, baru-baru ini.
Program kolaborasi ESSCOM, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sabah itu menyantuni 30 orang golongan asnaf, anak yatim dan mangsa kebakaran di sekitar Kampung Budaya, Pasir Putih di sini.
Dalam pada itu, beliau yang menyampaikan teks ucapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata selain menjadi wadah rapatkan ukhwah, program itu adalah platform membantu mereka yang kurang bernasib baik dalam menjalani ibadah puasa.
“Majlis ini bukan sekadar satu acara berbuka puasa tetapi ia juga menjadi wadah untuk kita memperkukuhkan semangat persaudaraan dan kebersamaan.
“Sempena bulan yang penuh berkat ini, turut diadakan majlis penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf, anak yatim, dan mangsa kebakaran.
“Ia selari dengan tuntutan Islam yang menggalakkan kita membantu mereka yang memerlukan khususnya dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.