KPDN Sandakan laksana Operasi Bersepadu benteras penyelewengan barang kawalan – Azdy

SANDAKAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan melaksanakan pemeriksaan terhadap empat jeti operasi Pusat Jualan Diesel Minyak Diesel Bersubsidi kepada nelayan di daerah berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, operasi  bersepadu bermula jam 9 hingga 11 pagi itu dilaksanakan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) untuk memperkukuh aktiviti pemantauan ketirisan barang kawalan di kawasan perairan Sandakan.

Azdy bersama penguat kuasa KPDN Sandakan menjalankan pemeriksaan dalam operasi bersepadu hari ini.

Katanya, operasi bersepadu ini bertujuan membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan termasuk minyak masak, gas petroleum cecair, minyak diesel serta bahan petrol khususnya di perairan terbabit.

“Fokus operasi kali ini adalah memberi tumpuan kepada pemeriksaan di jeti perdagangan membabitkan jeti Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) menguruskan operasi jualan minyak diesel bersubsidi kepada nelayan yang berdaftar.

Anggota penguat kuasa menjalankan operasi bersepadu di sini hari ini.

“Secara keseluruhannya pihak KPDN Sandakan mendapati pihak jeti mematuhi undang-undang sedia ada. Tiada pelanggaran undang-undang semasa pemeriksaan dilakukan dalam operasi bersepadu pada hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azdy (kanan) bersama anggota penguat kuasa lain dalam operasi bersepadu hari ini.

Azdy berkata, di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas Azdy.

Menurutnya, bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Azdy (tengah) menjalankan pemeriksaan dalam operasi bersepadu hari ini.

“KPDN Sandakan akan meningkatkan penguatkuasaan sebagai usaha berterusan untuk membanteras ketirisan barang kawalan di sekitar daerah Sandakan.

“Pihak kami sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat dan aduan berkaitan salah laku peniaga. Pengguna boleh bertindak sebagai mata dan telinga kepada KPDN dengan menyalurkan butiran aduan yang lengkap menerusi saluran rasmi aduan,’ kata Adzy.

Anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan dalam operasi bersepadu di sini hari ini.

Antaranya melalui saluran Whatsapp ditalian 019 848 8000 atau melalui Portal Aduan: http://eaduan.kpdn.gov.my serta Call Centre 1 800 886 800 dan Emel: e aduan@kpdn.gov.my.

“Selain itu orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui Aplikasi Ez ADU KPDN Atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command (Enforcement Command Centre): 03 –– 8882 6088 / 6245 serta menggunakan Surat Rasmi ke Pejabat KPDN yang berdekatan,” tambah Azdy