KOTA KINABALU:Kerajaan negeri Sabah hari ini membentangkan Belanjawan 2022 berjumlah RM4.596 bilion berbanding RM4.303 billion sebelumnya.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata kutipan hasil negeri tahun depan dianggarkan RM4.707 bilion menjadikan ia belanjawan lebihan sebanyak RM110.68 juta.
“Belanjawan 2022 merupakan bajet tahunan kedua di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dilancarkan pada 29 Mac 2021 berpaksikan Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah dimurnikan melalui rangkuman aspirasi rakyat dan diangkat sebagai agenda utama pembangunan negeri.
“Pembentangan belanjawan setiap tahun, kita berbicara nilai ribuan juta ringgit…menjadi peranan semua pihak termasuk anggota pentadbiran dan penjawat awam memastikan bukan sahaja jumlah besar ini dibelanjakan penuh hemah, malah nilai dan maknanya tidak hanya dapat didengar, tetapi harus dapat dilihat dan dirasai rakyat di akar umbi,” katanya ketika berucap membentangkan belanjawan itu.
Bertemakan Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera, agihan belanjawan itu antaranya melibatkan peruntukan Kementerian Kewangan Sabah berjumlah RM1.824 billion untuk perbelanjaan perbekalan dan RM4 juta untuk perbelanjaan pembangunan diikuti Kementerian Kerja Raya (RM770.1 juta/RM244.97 juta).
Jabatan Ketua Menteri Sabah (RM514.94 juta / RM161.59 juta); Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah (RM319.01 juta / RM111.87 juta); Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (RM206.01 juta / RM10.6 juta); Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (RM113.35 juta / RM18.58 juta).
Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (RM112.4 juta / RM11.72 juta); Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (RM87.66 juta / RM123 juta); Kementerian Belia dan Sukan Sabah (RM80.59 juta / RM15.30 juta);
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (RM121.22 juta / RM13.89 juta); Kementerian Pembangunan Perindustrian (RM19.91 juta / RM26.05 juta); Perbelanjaan Yang Diuntukkan melibatkan sebanyak RM383.04 juta; dan Perbelanjaan Tidak Termasuk Kementerian sebanyak RM33.73 juta.
Hajiji berkata sebanyak RM1.368 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan merangkumi peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM741.57 juta manakala RM626.58 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
“Peruntukan Kerajaan Persekutuan ini termasuk Pembayaran Imbuh Balik Persekutuan berjumlah RM65.25 juta dan Pinjaman Persekutuan sebanyak RM561.33 juta,” katanya.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata daripada anggaran hasil tahun depan, sebanyak RM2.094 bilion dianggar daripada Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dijangka menyumbang RM2.138 bilion dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM475.02 juta.
“Harga petroleum tinggi ketika ini menyumbang peningkatan jangkaan royalti diterima tahun hadapan, menjadikan Royalti Petroleum penyumbang hasil terbesar dengan RM1.2 bilion diikuti Cukai Jualan Produk Petroleum sebanyak RM1.1 bilion dan Cukai Jualan Minyak Sawit Mentah sebanyak RM810 juta,” katanya.
Beliau berkata daripada aspek hasil cukai tiga penyumbang utama adalah Cukai Jualan Negeri di anggaran RM1.965 bilion; Sewa Tanah (RM88 juta), dan Cukai Pelabuhan dan Dermaga (RM47.17 juta).
Selain Royalti Petroleum, Hasil Bukan Cukai lain ialah Jualan Air berjumlah RM280 juta, Faedah atas Baki Wang Tunai dan Simpanan Jangka Pendek (RM150 juta), Premium Tanah (RM146 juta); Royalti Keluaran Hutan dan Royalti Eksport Kayu Diproses (RM113.26 juta), dan Dividen (RM104 juta).
Menurutnya bagi Terimaan Bukan Hasil pula, pemberian Kerajaan Persekutuan adalah objek utama dengan anggaran RM474.82 juta.
“RM197.82 juta adalah dalam bentuk pemberian yang akan diterima Kerajaan Negeri secara langsung iaitu Pemberian Mengikut Kiraan Kepala, Pemberian Pertambahan Hasil, Pemberian untuk Menggantikan Duti Import/Eksais Keatas Petroleum dan Pemberian Khas.
“Bakinya adalah Pemberian bagi Membiayai Perbelanjaan Mengurus bagi Jabatan-Jabatan di Bawah Senarai Bersama dan Sumbangan kepada Kos Pelaksanaan Projek Pembangunan Persekutuan,” katanya.
— BERNAMA