KOTA KINABALU: Belanjawan 2022 berjumlah 4.596 bilion dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, menepati aspirasi rakyat di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin sambil menyambut baik Belanjawan 2022 berjumlah 4.596 bilion dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini semalam.
Katanya, belanjawan tersebut akan menumpukan usaha mengurangkan beban rakyat selepas terkesan penularan pandemik COVID-19 selain memfokuskan kepada meningkatkan ekonomi negeri.
“Saya menyambut baik beberapa pengumuman dalam pembentangan bajet kali ini. Bajet ini sudah tentu akan manfaat kepada rakyat sekali gus ini tanda sokongan penuh kepada Ketua Menteri.
“Kita yakin akan dapat menguruskan ekonomi negeri Sabah dengan lebih baik pada masa akan datang. Ini khususnya dalam mewujudkan peningkatkan pendapatan ekonomi negeri serta manfaat berterusan kepada rakyat di Sabah,” katanya.
Mengulas lanjut berkaitan belanjawan lebihan RM110.68 juta bertemakan ‘Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera,’ Bung selaku Menteri Kerja Raya yakin, ini akan memberi nilai tambah pada masa akan datang.
“Apabila kerajaan negeri memperoleh lebih banyak pendapatan, ini sudah tentu boleh dibelanjakan kepada aktiviti untuk membangunkan lebih banyak infrastruktur secara holistik khususnya kepada rakyat di negeri ini,” katanya.
Dalam tempoh sama, beliau akan berbincang dengan Menteri Kewangan berhubung langkah serta tindakan boleh dilakukan bagi mempertingkatkan kemudahan infrastruktur di Sabah.
“Kita memahami lebih banyak keperluan pembangunan insfrastruktur diperlukan termasuk sistem perhubungan jalanraya, bekalan air bersih, elektrik, pendidikan,” katanya.