KOTA KINABALU: Sabah dijangka merekodkan kutipan hasil negeri tertinggi pada tahun ini sebanyak RM4.917 bilion, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.
Beliau berkata antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan hasil itu adalah pembayaran Cukai Jualan Negeri (CJN) bagi produk dan gas, selain harga purata minyak sawit mentah dan minyak mentah petroleum yang lebih tinggi berbanding kadar harga yang diramalkan semasa penyediaan Anggaran Hasil 2021.
“Sasaran kutipan hasil tahun 2021 dijangka bertambah sebanyak 9.6 peratus atau RM430.67 juta menjadikan Anggaran Hasil Disemak Tahun 2021 telah meningkat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16, di sini, hari ini.
Hajiji, yang juga Menteri Kewangan Sabah, berkata rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan serta Petronas bagi membincangkan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) telah berjaya dimuktamadkan.
Katanya persefahaman dan persetujuan telah dicapai antara kedua-dua belah pihak sekali gus memastikan perjanjian CCA dapat ditandatangani dalam tempoh terdekat.
Dalam pada itu, beliau berkata pertumbuhan ekonomi Sabah dijangka menunjukkan aliran pemulihan dan berkembang secara perlahan tetapi positif pada kadar 3.8 peratus hingga empat peratus tahun ini.
Ketua Menteri berkata jumlah keseluruhan eksport negeri dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini meningkat 22.7 peratus dan mencecah RM24.9 bilion berbanding RM20.3 bilion dalam tempoh yang sama pada 2020.
Hajiji berkata ia didorong pengukuhan harga dan peningkatan nilai eksport beberapa komoditi utama khususnya minyak sawit serta petroleum mentah manakala jumlah nilai import negeri bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini menyusut 34.5 peratus kepada RM15.2 bilion.
“Oleh itu, Sabah telah mencatatkan lebihan dagangan positif sejumlah RM9.7 bilion pada enam bulan pertama tahun ini berbanding hanya RM3.3 bilion sepanjang 2020,” katanya.