KOTA KINABALU, 28 Jun — Sabah bersetuju secara prinsipnya untuk membuka pejabat perdagangan dan pelancongan di Singapura bagi mempromosikan potensi ekonomi kedua-dua sektor tersebut, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.
Beliau berkata, hubungan perdagangan Sabah dan Singapura telah lama terjalin dan pembukaan pejabat di republik itu akan mengukuhkan lagi hubungan mereka.
“Saya juga ingin mempelawa pelabur Singapura untuk melihat peluang di bawah Pelan Pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya yang menumpukan kepada pelaburan berimpak tinggi, terutama di sektor pertanian dan pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hajiji berkata demikian ketika mesyuarat secara maya bersama Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon pagi tadi.
Ketua Menteri berkata Singapura merupakan antara 10 rakan dagangan utama Sabah dengan nilai dagangan berjumlah RM133 juta pada Januari tahun ini.
Menurutnya, Sabah merekodkan perdagangan bernilai lebih RM7 bilion dengan Singapura dari 2019 hingga 2020.
“Sebanyak 10 kategori produk yang dieksport ke republik itu termasuklah minyak sawit, makanan laut, petroleum mentah serta produk kayu-kayan,” katanya.
— BERNAMA