Rumah terbuka, jamuan, ziarah kubur tidak dibenarkan sewaktu Aidiladha

KOTA KINABALU: Aktiviti rumah terbuka, jamuan, kunjung-mengunjung dan ziarah tanah perkuburan tidak dibenarkan di Sabah sewaktu sambutan Aidiladha bagi membendung peningkatan kes COVID-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata bilangan jemaah masjid dan surau bagi Solat Sunat Aidiladha dikurangkan kepada satu pertiga ruang solat atau maksimum 30 jemaah atau yang mana lebih rendah.

“Bilangan pengendali sembelihan korban adalah dikurangkan kepada 15 orang sahaja dan semua aktiviti perayaan Aidiladha di lokaliti PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat) adalah tidak dibenarkan,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Katanya saringan kluster sedia ada itu merekodkan 287 jangkitan iaitu 44.4 peratus daripada kes yang dicatatkan hari ini manakala saringan kontak rapat mengesan 220 kes baharu atau 34 peratus.

Beliau berkata saringan bersasar pula merekodkan 63 kes atau 9.7 peratus, saringan bergejala 47 kes atau 7.3 peratus dan selebihnya saringan kategori lain.

“Daerah Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi dengan jumlah kes baharu sebanyak 312 kes pada hari ini dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 204 kes dikesan dari Kluster Tembok Kota Kinabalu di Penjara Kepayan,” katanya.

Masidi juga berkata satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Jambatan Liawan di Keningau yang setakat ini mencatat 45 kes kumulatif merebak melalui jangkitan dalam komuniti.

“Penularan jangkitan kluster ini juga disyaki berpunca daripada pergaulan golongan remaja di kampung dan kemudian merebak kepada ahli keluarga melibatkan jangkitan dalam komuniti di Mukim Tuarid Taud dan Lingkudau di daerah Keningau,” katanya.