PUTRAJAYA: Orang ramai khususnya umat Islam dinasihatkan mengambil iktibar peningkatan kes setiap kali ketibaan musim perayaan, menjelang sambutan Aidiladha Selasa ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata data Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan bermula 1 Jun lalu iaitu sejak permulaan pelaksanaan sekatan pergerakan sehingga data terkini semalam, sebanyak 267 kluster komuniti dengan jumlah 17,106 kes positif COVID-19 dilaporkan oleh kementerian itu.
Beliau berkata, kes-kes itu dikesan daripada sejumlah 72,755 individu yang disaring, dengan kadar positiviti 23.5 peratus, melalui pengesanan kes aktif di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) secara berterusan.
Katanya, daripada jumlah 17,106 kes itu, 105 kematian dilaporkan sehingga kini dan 42 kes sedang mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
“Kluster komuniti ini tercetus susulan sambutan majlis perayaan yang lalu iaitu Aidilfitri dan Hari Gawai, aktiviti kunjung-mengunjung di kawasan kejiranan atau kampung, perjumpaan antara ahli keluarga dari rumah-rumah yang berlainan serta majlis pengebumian.
“Beberapa kluster komuniti ini turut membabitkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, KKM juga ingin menzahirkan kekhuatiran berkaitan 21 kluster yang didapati tercetus akibat aktiviti merentas negeri (Import B).
Katanya, dalam tempoh dari 1 Jun sehingga semalam sahaja, sebanyak 1,010 kes positif COVID-19 dilaporkan dalam 21 kluster ini, iaitu daripada 5,681 individu yang disaring (kadar positiviti 17.8 peratus) dan kluster berkenaan didapati membabitkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan sambutan perayaan, mengunjungi ahli keluarga, menghadiri majlis pengebumian serta atas urusan kerja.
Beliau berkata, KKM juga merekodkan negeri yang melaporkan jumlah kluster rentas negeri tertinggi sejak 1 Jun lalu adalah Perak dengan lapan kluster (38.1 peratus); Terengganu dengan lima kluster (23.8 peratus) serta Kelantan dengan tiga kluster (14.3 peratus).
Dr Noor Hisham turut mengingatkan bahawa kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit diabetes atau kanser adalah kumpulan yang sangat mudah terkesan dengan jangkitan COVID-19.
“Kita harus sedar bahawa sistem pertahanan tubuh mereka adalah lebih rendah dan membuatkan mereka mudah dijangkiti COVID-19. Tahap kesihatan mereka juga mudah merosot apabila dijangkiti COVID-19, sehingga ada yang boleh membawa kepada kematian.
“KKM ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penduduk Malaysia yang bersungguh-sungguh dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan dan terus kekal duduk di rumah.
“Bagaimanapun, terdapat juga segelintir individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri yang cuai dalam mematuhi SOP serta menyebabkan penularan kes atau kejadian kluster dalam komuniti. Bak kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya.
Justeru, Dr Noor Hisham berkata, KKM ingin mengambil kesempatan untuk menasihati masyarakat supaya mengambil iktibar dan tidak mengulangi sikap tidak bertanggungjawab sebelum ini selain mengingatkan masyarakat bahawa larangan rentas daerah dan negeri masih lagi berkuatkuasa.
Beliau berkata, pada masa sama, larangan kunjung mengunjung bagi menyambut perayaan juga masih terpakai ketika ini.
“Jangan pula dalam keseronokan menyambut Hari Raya Korban menyebabkan kita sama-sama ‘terkorban’ dek kerana COVID-19,” katanya.