Ronald minta Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Bencana bantu tangani kebakaran hutan di Paitan

BELURAN: Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee hari ini turun padang meninjau perkembangan terkini kebakaran hutan di Paitan.

Menerusi ciapan terbaru di Facebook, Ronald menyatakan berada di Kampung Pinangkau dan melihat sendiri keadaan api yang masih merebak akibat kebakaran hutan yang berlaku sejak seminggu lalu.

Menurutnya, operasi memadamkan api oleh anggota bomba menggunakan beberapa kenderaan bomba yang digerakkan dari balai bomba berhampiran nyata tidak mampu membendung kebakaran.

“Saya ada menghubungi DSP Setiausaha Kerajaan Negeri sebentar tadi memohon agar Kerajaan Negeri mengambil serius kebakaran yang sedang berlaku ini.

“Jawatankuasa bencana negeri dan daerah perlu diaktifkan. Kaedah pemadam api yang lebih berkesan harus digerakkan segera.

“Anggota Bomba yang berada di lapangan memberitahu saya keadah memadam secara manual ketika ini tidak berkesan. Masalah air, dan jentera menghalang mereka. Api juga sudah terlalu besar untuk dibendung,” katannya.

Beliau mahukan tindakan segera diambil disebabkan kebakaran hutan ini turut mendatangkan bahaya kepada lebih 1,000 penduduk dari beberapa kampung berhampiran.