KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM70 juta iaitu kenaikan sebanyak RM13.25 juta untuk pemberian bantuan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam, sekolah-sekolah mubaligh dan persendirian pada tahun depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, peruntukan ini meningkat berbanding pada tahun 2024 iaitu sebanyak RM56.75 juta.
Katanya, bantuan itu dapat meringankan beban kewangan pihak sekolah dan badan-badan keagamaan yang terlibat dalam usaha memastikan fasiliti sentiasa berada dalam keadaan kondusif, selamat dan selesa.
“Kerajaan Negeri komited dan sentiasa mengamalkan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama demi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini.
“Kita menyeru agar semua masyarakat terus mengekalkan keamanan, keharmonian dan kesefahaman yang dinikmati oleh rakyat pelbagai kaum di Sabah dan terus menjadi contoh di negara ini,” katanya.
Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri, merupakan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.
Hajiji menyeru rakyat Sabah terus mengamalkan cinta kasih kepada sesama umat manusia sampai selama-lamanya.
“Sesungguhnya, keharmonian di kalangan masyarakat adalah nadi kepada kejayaan aspirasi Kerajaan Sabah Maju Jaya.
“Saya yakin sambutan Perayaan Krismas yang diadakan selama empat hari ini adalah pemangkin kepada kesefahaman dan keharmonian antara pelbagai lapisan masyarakat,” jelas Hajiji.
Menurutnya, beliau berharap semua aktiviti dijalankan di sepanjang sambutan ini diterima serta dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua golongan masyarakat.
“Sambutan bertemakan ‘Kasih Melalui Tindakan’ (Love in Action) amat tepat khususnya di negeri Sabah yang mempunyai rakyat pelbagai kaum dan agama.
“Tema itu disokong kerana ia mendorong kita untuk saling mengasihi sesama, bukan hanya setakat bercakap mengenai kasih tetapi menterjemahkan dan menunjukkan kasih itu melalui tindakan,” kata Hajiji.