KOTA KINABALU : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah melaksanakan dua projek pembangunan pelancongan dibawah biayaan Kerajaan Negeri membabitkan kos bernilai RM500,000 di Sandakan.
Menterinya, Datuk Christina Liew berkata, peruntukan ini menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), sepanjang tempoh tiga tahun ini di negeri Sabah.
Katanya, bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pula, sehingga tahun 2023, sebanyak 10 projek dilaksanakan membabitkan jumlah keseluruhan bernilai RM2.89 juta di daerah Sandakan.
“Peruntukan ini diluluskan bagi kesemua projek-projek adalah meliputi kerja-kerja pembaikan dan penaiktarafan fizikal prasarana serta kemudahan asas pelancongan sedia ada demi memastikan keselesaan, keselamatan, kefungsian, dan keceriaan kepada pelancong,” katanya pada sesi soal jawab Mesyuarat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri yang Ke-16, hari ini.
Beliau menjawab soalan Calvin Chong Ket Kiun (ELOPURA) apakah dan berapakah penambahbaikan pusat pelancongan di Sandakan yang berjaya atau sedang dilakukan oleh pihak kementerian.