BEAUFORT : Sejumlah RM200,000 dana diperlukan bagi mewujudkan Tabung Amanah Lumadan Sejahtera di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, tabung ini akan memberikan fokus serta kepada berlakunya bencana alam, bantuan pendidikan serta kes-kes kecemasan yang berlaku di kawasan berkenaan.
Katanya, skop melibatkan bencana alam adalah meliputi berlakunya kejadian banjir melibatkan rakyat yang memerlukan proses pemindahan sementara serta kes-kes kebakaran.
“Bagi pendidikan adalah merangkumi bantuan kepada anak-anak yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi serta disenaraikan dalam kategori B40.
“Manakala kes-kes kecemasan pula adalah dikategorikan kepada rakyat sekiranya jika terdapat berlakunya kejadian kemalangan atau keperluan mendesak untuk disalurkan bantuan ini,” katanya di sini semalam.
Ruslan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, tabung ini menyasarkan sumbangan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk swasta serta usahawan tempatan di negeri ini.
“Kita yakin objektif penubuhan tabung itu adalah sejajar dengan slogan Lumadan Sejahtera sekali gus memastikan agar rakyat di kawasan ini dapat dibantu dengan sebaiknya.
“Ini merupakan satu platform yang sangat jelas bukan scammer berikutan Tabung Amanah Lumadan Sejahtera adalah berdaftar serta mempunyai sistem polisi yang sangat jelas,” jelas Ruslan.
Menurutnya, Tabung Amanah Lumadan Sejahtera ini dianggotai Penasihat daripada Amanah Raya Bhd sekali gus dilihat dapat memberikan keyakinan kepada semua penyumbang kelak.
Pada majlis tersebut, Amanah Raya Berhad menyumbang sejumlah RM10,000 kepada Tabung Amanah Lumadan Sejahtera.
