KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan kira-kira RM135 juta bagi membangunkan sektor agromakanan di Sabah pada tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Beliau berkata peruntukan tersebut disalurkan kepada jabatan dan agensi di bawah kementerian termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) Sabah dalam usaha memacu pertumbuhan industri agromakanan berasaskan kepada makanan tempatan di negeri itu.
Ronald berkata bagi Sarawak, kementeriannya memperuntukkan kira-kira RM150 juta bagi memastikan negeri itu dapat turut sama membangunkan potensi sektor tersebut ke arah merealisasikan matlamat digariskan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0.
“Kita banyak bercakap tentang sektor agromakanan kerana kita ingin memastikan keselamatan bekalan makanan negara sentiasa terjamin dan ini (terdapat) dalam Dasar Agromakanan 2.0 untuk melihat sektor agromakanan menyumbang kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) dan pembangunan ekonomi negara.
“Selain itu, untuk memastikan sektor agromakanan seiring dengan Revolusi Industri 4.0 menerusi penggunaan teknologi moden, mengurangkan kos pengeluaran dan kebergantungan kepada buruh serta melipatgandakan keuntungan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke MARDI Sabah di sini hari ini.
Ronald berkata MARDI Sabah memainkan peranan penting dalam mempromosi teknologi pertanian baharu, pembangunan usahawan, penyelidikan dalam bidang pertanian dan industri makanan, selain turut menawarkan perkhidmatan menganalisis sampel makanan bagi memenuhi keperluan pelabelan produk usahawan tempatan.
Menurutnya, agensi itu juga telah melatih kira-kira 12,000 rakyat Sabah yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan agromakanan termasuk dalam kalangan generasi muda sejak ia ditubuhkan pada 1995, selain turut menyalurkan pelbagai bentuk bantuan bagi membantu usahawan membangunkan perniagaan.
Dalam lawatan kerja itu, Ronald turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MARDI dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi mempertingkatkan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui pertanian pintar serta pembangunan aplikasi sistem pemantauan berimej untuk prestasi pertumbuhan tanaman.
MoU itu ditandatangani Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Taufik Yap Yun Hin.
Ronald berkata kementeriannya mengalu-alukan kerjasama strategik antara MARDI dan UMS kerana ia dilihat akan dapat menjana lebih banyak dapatan kajian bersama institusi pengajian tinggi itu terutama dalam membangunkan sektor agromakanan di Sabah.
Melalui MoU itu, MARDI dan UMS akan memantapkan aspek sains fundamental dan aplikasi dalam aktiviti R&D untuk menghasilkan teknologi bermutu serta berorientasikan industri dan pemindahan teknologi ke UMS juga bertujuan meningkatkan lebih banyak penglibatan pembangunan penyelidikan dalam pembelajaran.
MoU itu juga akan menyaksikan peningkatan bilangan penyelidikan dan pembangunan berkualiti dalam bidang pertanian serta meningkatkan penerbitan berimpak tinggi melalui penjanaan data saintifik yang terhasil.
— BERNAMA