LAHAD DATU : Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) membuat laporan polis berkaitan kegiatan penyambungan haram serta mencuri elektrik sehingga menyebabkan kerugian hampir RM1 juta dilakukan penduduk setinggan di Kampung Puyut di sini semalam.
Pengerusinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, beliau bersama pasukan SESB membuat tinjauan di kawasan perkampungan setinggan tersebut mendapati penyambungan haram dilakukan secara terbuka.
Katanya, kegiatan ini merupakan satu aktiviti yang sangat serius menyebabkannya bertindakan membuat laporan ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Lahad Datu.
“Kita anggarkan lebih 1,000 rumah di Kampung Puyut membuat penyambungan haram, sehingga mengakibatkan kerugian yang besar kepada SESB sehingga mencecah kira-kira RM1 juta.
“Laporan ini dilakukan memohon pihak polis menyiasat siapakah individu terlibat dalam kegiatan penyambungan haram,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Madius berkata, beliau meminta agar siasatan dilakukan segera sama ada pemasangan sambungan haram ini dilakukan penduduk setinggan Kampung Puyut atau sindiket atau kartel.
“Jika ya, apakah hukuman yang boleh disabitkan kepada individu-individu terlibat.
“Saya juga minta pihak polis menyiasat berapakah sebenarnya kerugian yang ditanggung SESB akibat kegiatan mencuri elektrik dan sambungan haram ini,” jelas Madius.