Agensi penguatkuasa perlu ambil tindakan tegas pengendali pelancongan rentas sempadan tanpa kebenaran – Christina

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Polis Marin digesa  mengambil tindakan tegas terhadap pelaku aktiviti pelancongan rentas sempadan tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, beliau mengeluarkan amaran susulan laporan kemasukan tanpa kebenaran ke perairan Filipina membabitkan pengendali pelancongan serta pelancong yang melawat Sabah.

Katanya, beliau mendakwa seorang pengusaha pelancongan memancing tidak berlesen dari Semporna membawa pelancong pergi memancing ke perairan Filipina.

“Pengusaha pelancongan harus sedar bahawa adalah satu kesalahan dan menyalahi undang-undang untuk menceroboh wilayah negara lain.

“Kami (Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar atau KePKAS) akan meminta Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac) membatalkan lesen pengendali pelancongan yang didapati melanggar undang-undang,” kata Christina dalam satu kenyataan semalam.

Christina berkata, beliau mengecam tindakan pengusaha pelancongan yang secara tidak wajar mendedahkan pelancong kepada bahaya yakni membahayakan keselamatan mereka.

“Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pelaku aktiviti pelancongan rentas sempadan tanpa kebenaran oleh pihak berkuasa,” jelas Christina.