Lelaki warga asing terjatuh di feri tiga hari lalu ditemukan lemas pagi tadi

KINABATANGAN : Seorang lelaki warga asing pekerja sebuah feri mengangkut barang dipercayai terjatuh ke Sungai Kinabatangan ditemukan lemas pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Pengusaha Bomba Nur Azlan Shah Jamalludin berkata, mangsa dikenali sebagai Antonius Permisi, 45 tahun ditemui pasukan bomba kira-kira jam 10.30 pagi tadi pada jarak 100 meter dari lokasi dilaporkan jatuh.

Katanya, operasi SAR dijalankan sejak tiga hari lalu dilancarkan menggunakan sebuah bot orang kampung serta bot Syarikat Estet Tomanggong menyelusuri sungai dengan radius pencarian sejauh tiga KM di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Pagi tadi mangsa berjaya dijumpai. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nur Azlan Shah berkata, selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud di lokasi kejadian operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 11.00 pagi tadi.