Remaja Lelaki Ditahan Disyaki Cabul dan Pukul Pelajar Perempuan

TAWAU: Polis menahan seorang remaja lelaki tempatan yang disyaki mencabul dan mencederakan seorang pelajar perempuan dalam kejadian yang berlaku di kawasan kedai di Jalan Kuhara, minggu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Champin Piuh berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 4 petang semalam berhampiran Bangunan Eastern Plaza, Jalan Kuhara.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 7 Ogos lalu, sekitar jam 4 petang mangsa berusia 18 tahun telah bertemu suspek di kawasan kedai selepas berkenalan melalui telefon.

“Suspek kemudian mengajak mangsa ke sebuah hotel, namun pelawaan itu ditolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Champin berkata, suspek bertindak agresif apabila mangsa enggan mengikut arahannya kemudian memaksa serta menumbuk mangsa di bahagian lengan dan perut, menyebabkan kecederaan dan lebam.

“Polis merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux bersama kunci kereta, yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

“Suspek, yang berusia 17 tahun, kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” jelas Champin.