Rayuan kes SRC International Najib kekal 15 Ogos

PUTRAJAYA: Rayuan Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International akan diteruskan seperti dijadual dari 15 hingga 26 Ogos.

Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Awal minggu ini, peguam baharu Najib meminta Mahkamah Persekutuan menangguhkan perbicaraan 10 hari itu, “berdasarkan pertukaran peguam cara dan peguam mewakili Najib”.

Firma guaman Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners dilantik mewakili Najib dalam rayuan akhir SRC International selepas bekas peguam Shafee & Co memberitahu bekas perdana menteri itu telah memberhentikan khidmat mereka.

Mahkamah Rayuan tahun lalu, mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 untuk mensabitkan Najib atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram lebih RM42 juta milik SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya.

Ia juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta Najib. Bagaimanapun, Najib dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.