KOTA KINABALU: Enam peserta Universiti Malaysia Sabah (UMS) mewakili Malaysia ke pertandingan World Championships of Performing Arts (WCoPA) yang berlangsung di Los Angeles Amerika Syarikat pada 22-30 Julai 2022.
Peserta terdiri daripada dua pelajar Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), dua pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) dan masing-masing seorang kakitangan akademik dan pentadbiran UMS.
Pelajar Seni Muzik ASTiF, Kristy Samunting akan bertanding dalam kategori nyanyian Vocal Broadway, Vocal Pop, Vocal R&B,dan Vocal Open kategori umur 18-24 tahun.
Manakala, pelajar Seni Tari ASTiF, Vanessa William bertandingdalam kategori Tarian Solo – Dance Contemporary, Dance Open, Dance Lyrical, dan Dance Ethnic untuk kategori umur 18-24.
Bagi pelajar FPP UMS, Noor Hasfizzah Ladin, beliau akan berentap dalam kategori nyanyian Vocal Pop, Vocal Open, Vocal Variety, Vocal World kategori umur 25-29.
Quenner Mitchell Pauzi yang merupakan Pelajar Pascasiswazah FPP sekali lagi membuat penampilan bertanding dalam kategori muzik instrumental menggunakan alat muzik Sabah ‘Sundatang’.
Pada penyertaan sebelum ini, Quenner merupakan penyumbang lima pingat kepada Malaysia iaitu satu emas, tiga perak dan satu gangsa.
Dalam pada itu, dua kakitangan UMS yang turut bersaing buat julung kalinya pada pertandingan itu ialah Ketua Program Seni Kreatif ASTiF, Dr. Sharip Zainal Sagkif Shek dan Artis Budaya Kanan UMS, Norain Abd Razak.
Mereka akan bertanding dalam acara tarian duet kategori umur 30 tahun ke atas.
Untuk rekod, kali terakhir UMS menyertai pertandingan tersebut adalah pada tahun 2018 dengan kejayaan meraih satu pingat emas, tujuh perak dan satu gangsa.