Ramai termiskin di Sabah yang layak tidak tersenarai dalam eKasih – Riduan

KOTA KINABALU: Ramai rakyat termiskin di Sabah khususnya di Tenom masih tidak tersenarai dalam Sistem Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih).

Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin berkata, beliau menerima aduan daripada pemohon yang layak bahawa mereka terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan kelulusan permohonan eKasih.

Katanya, lebih mengecewakan sebahagian permohonan mereka ditolak setelah menunggu bertahun lamanya tanpa dinyatakan alasan dan sebab munasabah permohonan ini ditolak. 

“Saya sendiri turun mengadakan lawatan dan pertemuan dengan mereka ini (pemohon eKasih) dan mendapati bahawa kehidupan mereka sangat daif dan memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan dengan kadar segera.  

“Justeru, penting untuk mereka (rakyat termiskin yang layak) mendapatkan kelulusan daripada kementerian berkenaan kerana sekiranya permohonan mereka diterima. Sudah pasti, ianya akan memudahkan urusan mereka dalam memohon bantuan lain seperti rumah dihawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), bantuan kebajikan dan rawatan di hospital,” katanya di sini hari ini.

Riduan berkata, dalam beberapa siri lawatan kerjanya di kawasan Tenom, beliau sempat menziarahi orang meninggal.

“Apa yang menyedihkan adalah si mati meninggal kerana ketidakmampuannya untuk membayar rawatan di hospital bagi mengubati penyakit kronik yang dihadapinya. 

“Akhirnya, beliau terpaksa membiarkan dirinya menanggung kesakitan sehingga ke akhir hayatnya,” tegasnya.

Justeru, beliau menggesa sistem pangkalan data eKasih ditambah baik supaya dapat mengenal pasti data yang lebih mikro agar ianya lebih tepat hingga berupaya untuk menyasarkan individu yang benar-benar memerlukan bantuan bagi mengelakkan keciciran. 

Menurutnya, penstrukturan semula sistem eKasih juga perlu dibuat agar ianya lebih bersepadu serta memperbaiki kaedah kelulusan.