KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) perlu mengambil langkah drastik bagi menangani krisis air membabitkan lebih 300,000 penduduk di kawasan Parlimen Sepanggar.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang projek Loji Rawatan Air Telibong Dua perlu disiapkan segera selain kerajaan persekutuan bersedia membantu kerajaan negeri dalam aspek pemberian peruntukan.
“Saya menggesa JANS agar mengambil langkah drastik dalam situasi sebegini. Ini bukan lagi isu bekalan air biasa tetapi krisis air. Lebih 300,000 orang penduduk Sepanggar bergantung sepenuhnya kepada kecekapan JANS menyelesaikan masalah ini.
“Sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang Projek Loji Rawatan Air Telibong Dua perlu disiapkan segera bagi menampung keperluan air di Sepanggar serta kawasan sekitarnya,” katanya di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan Mustapha merupakan Ahli Parlimen Sepanggar berkata, pihaknya sedang menunggu panggilan mesyuarat daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi mencari kaedah terbaik menyelesaikan isu penempatan setinggan di kawasan Sepanggar.
“Penempatan setinggan ini dikenalpasti turut dikaitkan dengan kegiatan mencuri air sebelum ini sehingga menyebabkan masalah air di Sepanggar.
“Satu mekanisme baharu perlu diteliti bagi menyelesaikan isu penempatan setinggan di Parlimen Sepanggar dengan mengambil kira aspek kemanusiaan tanpa mengabaikan kepentingan penduduk Sepanggar secara amnya,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini beliau masih menunggu panggilan mesyuarat DBKK untuk mendapatkan gambaran secara terperinci isu penempatan setinggan sekali gus sering dikaitan terlibat dengan kes kecurian air di Sepanggar.