Ramai minta saya jadi PM semula – Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui masih ramai pihak yang mahu beliau mengemudi negara sekali lagi.

Pengerusi Pejuang itu bagaimanapun berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Iklan murah di Sabahnewstoday.

“Saya tak bersedia tapi banyak orang suruh, jadi waktu ini saya tak buat keputusan apa-apa. Saya tak tolak saya tak terima,” katanya dalam laporan FMT hari ini.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Konvensyen Pejuanita Malaysia.

Julai lalu, Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Pejuang berhak untuk mencalonkan Mahathir sebagai calon perdana menteri buat kali ketiga jika parti itu menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ia renteten hasrat Mahathir sebelum itu yang menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU15 sekiranya tiada calon lain yang sesuai untuk bertanding di kawasan berkenaan.

Mengulas mengenai Bajet 2023, Mahathir berpendapat bajet Ismail Sabri Yaakob itu perlu diluluskan sebelum PRU15 diadakan bagi mengelakkan timbul permasalahan pada masa depan.

Beliau berkata, sekiranya tidak diluluskan dalam sidang Parlimen sebelum PRU15, kebarangkalian berlaku perubahan dalam dasar belanjawan tersebut jika kerajaan kini tewas pada pilihan raya berkenaan.

“Kalau adakan PRU15 sebelum bajet maka akan timbul banyak masalah pada masa hadapan,” katanya.

Mengenai status pendaftaran GTA kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), Mahathir yang juga Pengerusi Penaja GTA berharap kelulusan pendaftarannya tidak buat pada hari terakhir sebelum kerajaan dibubarkan.

“Kita menunggu bulan depan baru pihak JPPM akan putuskan sama ada GTA akan didaftar. Jadi saya harap janganlah didaftarkan sehari sebelum bubar kerajaan supaya kita tak ada masa untuk menyiapkan GTA untuk PRU15,” katanya.