BN terus pertingkat kedudukan Sabah, Sarawak jika kembali berkuasa – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Kedudukan Sabah dan Sarawak akan terus dipertingkatkan sesuai dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 apabila BN kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Sabah dan Sarawak juga akan terus menjadi rakan kongsi yang strategik dari segi pembangunan ekonomi dan politik.

Iklan murah di Sabahnewstoday.

“Pada masa yang sama banyak lagi pembangunan yang boleh dirancang bersama di antara pusat dan negeri.

“Tahniah kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg apabila lima institusi pengajian tinggi (IPT) kini dimiliki kerajaan negeri Sarawak termasuklah Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Curtin Kampus Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak, International College of Advanced Technology Sarawak (ICATS) dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) bagi memperkasakan modal insan rakyat Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Menurutnya, penubuhan Malaysia 1963 kini mencecah 59 tahun dan dalam tempoh tersebut pelbagai asam garam hidup, pahit manis kehidupan dilalui bersama.

“Fakta yang jelas ialah tanpa Sabah dan Sarawak, Malaysia tidak akan terbentuk. Sabah, Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura (kemudian keluar) bersama-sama membentuk Malaysia,” katanya.

Jelasnya, terdapat kekeliruan Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia adalah tidak tepat.

“Sabah dan Sarawak tidak menyertai Malaysia. Sebaliknya Sabah dan Sarawak bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia,”katanya

Ahmad Zahid berkata, dinamika sosiopolitik semasa menyaksikan Sabah dan Sarawak kini diiktiraf sebagai wilayah dan bukan lagi negeri selepas Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 [Akta A1642] berkuat kuasa pada 11 Februari 2022.

Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Sabah yang menerima jumlah pelaburan ketiga terbesar di negara ini dengan unjuran pelaburan terus asing (FDI) melebihi RM7 bilion pada tahun ini.