Rakyat Sabah ucap tahniah atas pelantikan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17

KOTA KINABALU : Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, mewakili rakyat Sabah mengucapkan tahniah kepada Sultan Johor Darul Ta’zim, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17, hari ini.

“Rakyat Sabah merafak sembah dan menjunjung kasih atas pelantikan baginda dan mendoakan agar baginda sentiasa dalam keadaan yang baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sultan Ibrahim akan mengambil alih jawatan Yang di-Pertuan Agong daripada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkuatkuasa pada 31 Januari 2024.

Hajiji turut menzahirkan penghargaan rakyat Sabah kepada  Al-Sultan Abdullah atas lawatannya ke negeri ini sempena program Jelajah Kembara Borneo, baru-baru ini.

“Kami di Sabah sentiasa mengingati baginda Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong serta keluarga atas kerendahan hati baginda yang dekat kepada rakyat.

“Kita mendoakan agar baginda sekeluarga sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik,” katanya.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial, mengumumkan bahawa pelantikan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu diputuskan pada Mesyuarat Khas Raja-Raja Ke-263 di Istana Negara, hari ini.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzudin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.