Madanikan’ peruntukan pembangunan untuk Sabah, Sarawak – Andi

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan sepatutnya memperhalusi semula jumlah peruntukan pembangunan untuk Sabah selaras dengan dasar ‘Madani’ yang berprinsipkan keadilan dan kesaksamaan.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryandy Bandy berkata, Sabah sepatutnya mendapat 10.3 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan iaitu RM90 bilion yang diperuntukkan di dalam Belanjawan 2024, berdasarkan jumlah penduduk Sabah iaitu 3.4 juta atau 10.3 peratus daripada 33.1 juta populasi rakyat Malaysia.

“Setiap kali pembentangan belanjawan, kami di Sabah akan sentiasa menanti Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu jurang wilayah yang sekian lama menjadi tuntutan. Belanjawan kali ini, Sabah diberikan peruntukan pembangunan sebanyak 7.3 peratus daripada RM90 bilion.

“Jika dibandingkan dengan beberapa negeri lain di Semenanjung, nilai RM6.6 billion memang nampak tinggi. Tapi persoalan yang lebih kritis, adakah nilai ini mengikut keperluan sebenar Sabah? Saya katakan tidak.

“Kenapa tidak? Sebab jumlah keseluruhan penduduk Sabah adalah 3.4 juta iaitu 10.3 peratus daripada 33.1 juta populasi rakyat Malaysia, dan secara fitrah mengikut nisbah penduduk sepatutnya Sabah diberikan 10.3 peratus dana pembangunan sesuai dengan nisbah penduduknya.

“Realitinya, Sabah diberi 7.3 peratus walhal penduduknya 10.3 peratus, iaitu defisit sebanyak 3 peratus. Dan Sarawak diberi 6.4 peratus walhal penduduknya 7.5 peratus, defisit 1.1 peratus,” katanya pada perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, Rabu lepas.

Andi yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah berkata, mungkin ada yang tidak bersetuju dengan perbandingan ini dan pasti ada yang menyanggah negeri-negeri lain juga tidak mendapat peruntukan mengikut kapita, namun, ia perlu dinilai di atas neraca yang lebih logik.

“Dalam konteks Semenanjung, keadaan geografi dan sistem jaringan perhubungan membolehkan limpahan ekonomi dinikmati oleh semua. Limpahan ekonomi dan peluang kerja di Lembah Klang boleh diakses oleh rakyat dari negeri-negeri lain. Begitu juga limpahan ekonomi di Pulau Pinang dan Johor Bahru, semua dapat merasainya.

“Senario berbeza di Sabah, luasnya yang menyamai separuh Semenanjung belum ada sebarang pertumbuhan yang setara dengan Lembah Klang yang boleh diakses oleh segenap komuniti marginal dari Kudat sampai Tenom mahupun dari Kinabatangan sampai Kalabakan.

“Benarlah, yang sudah maju selalu diberi lebih, yang ketinggalan terus diberi kurang, Sebab itu jurang wilayah akan terus menjadi isu negara yang berpanjangan. Padang Malaysia tidak akan sama rata sampai bila-bila.

“Prinsip dasar “Madani” adalah keadilan dan kesaksamaan. Tapi adakah ini hanya slogan bersifat kata-kata, bukan untuk dikota? Tepuk dada tanya selera,” kata Andi yang juga ADUN Tanjung Batu.

Selain itu, Andi memohon agar peluang diberikan kepada Sabah untuk memasukkan dana pembangunan yang diperuntukkan ke dalam Tabung Amanah Negeri Sabah yang telahpun diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Katanya bagi Belanjawan 2023, prestasi dana ini belum pun mencapai tahap 50 peratus dengan hanya berbaki beberapa bulan sebelum kalendar kewangan tahunan berakhir, yang merupakan satu kerugian buat Sabah jika dana ini tidak dioptimumkan penggunaannya.

“Peruntukan ini boleh digunakan untuk menbiayai projek yang belum sempurna hingga siap sepenuhnya.

“Janganlah peruntukan yang tidak terpakai itu dikitar berulang kali untuk bajet tahun berikutnya. Biarlah bajet baharu untuk projek dan program baharu,” kata Andi.