Minggu Solidariti Palestin tidak wajib untuk sekolah di Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU: Sekolah di Sabah dan Sarawak tidak diwajibkan untuk mengadakan aktiviti Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober hingga 3 November ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Datuk Phoong Jin Zhe, berkata ia disahkan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying ketika ditanya mengenai penganjuran aktiviti itu.

Katanya, beliau meminta penjelasan Hui Ying berhubung penganjuran aktiviti itu berikutan bantahan pelbagai pihak di Sabah yang tidak berseruju ia diadakan di sekolah.

“Malam tadi, selepas menamatkan lawatan rasmi ke Brunei, saya segera mendapatkan pengesahan daripada Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.

“Beliau mengatakan bahawa sekolah di Sabah dan Sarawak boleh memilih sama ada menganjurkan Minggu Solidariti Palestin atau tidak.

“Saya percaya aktiviti ini bukan saja tidak digalakkan di Sabah, malah sepatutnya tidak diadakan di seluruh negara.

“Kementerian Pendidikan seharusnya menggalakkan sekolah mengajar pentingnya keamanan berbanding membawa kanak-kanak dalam gerakan politik yang kompleks,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah itu berkata, kerajaan dan Kementerian Pendidikan harus memastikan semua sekolah dan institusi pendidikan di negara ini dijauhkan daripada konflik politik antarabangsa, pertikaian agama dan perang.

“Pelajar harus hadir ke sekolah untuk menimba pengetahuan berbanding terbabit dalam protes orang dewasa di merata tempat di dunia.

“Pelajar muda tidak seharusnya diheret dalam konflik Palestin – Israel yang sedang berlaku ketika ini,” katanya.

Jin Zhe berkata, beliau mengakui pendirian Kerajaan Perpaduan yang menyokong Palestin berdasarkan pertimbangan kemanusiaan.

Bagaimanapun, katanya pelajar di bawah umur tidak seharusnya menyertai dalam apa-apa bentuk aktiviti politik, khususnya yang membabitkan konflik luar negara.

“Ini kerana ia boleh memberi kesan kepada aspek fizikal, mental dan pembangunan rohani pelajar bawah umur.

“Saya menentang keras tindakan perang dan kekerasan serta berdoa agar ada penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel supaya rakyatnya dapat kembali menikmati keamanan,” katanya.