Rakyat Sabah perlu menangkan calon GRS-BN pada PRU15 – Hajiji

TUARAN: Rakyat Sabah tanpa mengira bangsa serta agama perlu menyokong calon Gabungan Rakyat Sabah dan Barisan Nasional (GRS-BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU15) ke 15.

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata siapa juga calon  dipilih pucuk pimpinan GRS dan BN rakyat perlu memberi sokongan dan kemenangan di PRU15 kelak.

Katanya, kerajaan GRS-BN sangat perihatin dalam membantu rakyat khususnya kepada golongan nelayan kecil yang memerlukan bantuan peralatan mereka.

“Inilah perjuangan Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN) yang tumpuan serta fokus dalam membangunkan negeri ini dan juga kesejahteraan rakyat.

“Hari ini kita menyerahkan bantuan peralatan nelayan kepada 28 penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman hari ini,” katanya.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, Kerajaan Negeri berusaha mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini dengan memberikan pelbagai bantuan kepada golongan sasar.

“Kerajaan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) merancang pelbagai program bantuan khusus untuk kesejahteraan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Beliau juga mengingatkan para penerima bantuan agar menggunakan bantuan peralatan nelayan itu sebaik mungkin bagi meningkatkan sosioekonomi dan pendapatan keluarga.

“Dengan pelbagai bantuan yang diberikan oleh kerajaan, rakyat sendiri juga perlu berusaha membantu keluarga mereka agar dapat keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.