KOTA KINABALU: Sabah merekodkan peningkatan jumlah kes demam denggi lebih tiga kali ganda hingga minggu ke-42 tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong, berkata peningkatan kes yang sangat membimbangkan itu dapat dilihat apabila sebanyak 4,812 kes direkodkan setakat minggu ke-42 tahun ini berbanding hanya 1,336 kes dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas.
Katanya, satu mesyuarat sudah diadakan pihaknya menerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi Negeri pada Selasa lepas bagi membincangkan situasi terbabit.
“Lima kes kematian akibat demam denggi turut direkodkan iaitu tiga di Sandakan dan masing-masing satu di Papar dan Tawau.
“Sehingga 22 Oktober lepas, lima daerah yang mencatatkan kes demam denggi tertinggi di negeri Sabah iaitu Sandakan, 1,394 kes, Kota Kinabalu (1,155); Tawau (387); Lahad Datu (349) dan Putatan (344).
“Bagi lokaliti wabak aktif pula, sejumlah 74 lokaliti wabak aktif membabitkan 11 wabak hotspot, 11 wabak tidak terkawal dan 52 wabak terkawal di seluruh Negeri Sabah yang membabitkan tujuh daerah iaitu Sandakan, Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, Kudat, Penampang dan Pitas,” katanya. dalam satu kenyataan media di sini semalam.
Safar berkata pihaknya menasihatkan rakyat Sabah agar sentiasa mengambil tindakan kawalan pencegahan demam denggi.
“Kerajaan negeri menyarankan individu yang mengalami gejala penyakit demam denggi agar mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital terdekat bagi mengurangkan risiko komplikasi demam denggi berdarah.
“Ini terutamanya bagi golongan kanak-kanak serta mereka yang mempunyai penyakit komorbid,” katanya.