KOTA KINABALU: Bekas Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mahu kembali berkhidmat untuk pengundi kawasan itu kerana masih banyak pembangunan ingin dibawa untuk manfaat rakyat termasuk dalam aspek pendidikan, pertanian serta industri minyak dan gas.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk mempertimbangkan hasratnya bertanding semula di kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Abdul Rahman yang pernah menyandang kerusi itu selama dua penggal sejak 2008, mengesahkan namanya antara lima calon disenaraikan UMNO Bahagian Kota Belud untuk bertanding pada PRU15 bersama empat lagi nama pemimpin UMNO bahagian itu yang telah diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti untuk dipertimbangkan.
“Saya masih ingin lagi berkhidmat di Kota Belud. Saya masih lagi banyak perancangan di Kota Belud. Tanda pagar saya ialah #sambungyangtergendala, dan kalau diberi peluang oleh parti, saya ingin kembali ke Kota Belud untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat di sana.
“Kalau kepimpinan parti memberi saya peluang, saya akan menggalas amanah itu dengan baik,” katanya di sini semalam.