SANDAKAN: Penglibatan golongan muda dalam aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan tanah perkuburan dilihat menjadi contoh kepada individu lain di negeri ini.
Ketua ARMADA Bahagian Batu Sapi, Mohd Fazriee Awang berkata, ketika ini kelihatan anak muda tidak cenderung kepada aktiviti ini menyebabkan mereka tidak berminat menyertainya.
Katanya, inisiatif ini sangat bertepatan sebagai langkah awal menggalakkan golongan muda ini untuk menyertai aktiviti membersihkn tanah perkuburan di peringkat awal.
“Kita di ARMADA ingin melihat anak muda menjadi barisan hadapan terlibat secara langsung dalam kerja-kerja amal ini selain memupuk keinginan mereka untuk berbakti kepada aktiviti kemasyarakatan.
“Selain itu ingin memupuk rasa tanggungjawab untuk memastikan kawasan perkuburan itu sentiasa bersih serta memberi keselesaan kepada ahli keluarga yang datang menziarahi tanah perkuburan ini,” katanya di sini hari ini.
Mohd Fazriee berkata, ARMADA Batu Sapi bercadang untuk menjadikan aktiviti ini sebagai kalender utama dalam program mereka menjelang bulan ramadan di masa depan.
“Secara tidak langsung aktiviti ini boleh mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat sekali gus menggalakan anak muda ini cenderung kepada kerja-kerja amal,” katanya.