Tiada ulasan jumlah hasil bersih setahun pungutan Persekutuan di Sabah atas dasar sub judice: Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan hari ini, memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat memberi ulasan mengenai jumlah hasil bersih dari Sabah yang dipungut Kerajaan Persekutuan pada setiap tahun.

Menurut beliau, pertanyaan yang diajukan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (PH – Tuaran) itu adalah salah satu perkara yang dirujuk dalam saman yang telah difailkan ke mahkamah terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.

“Oleh yang demikian, tiada apa-apa ulasan atau jawapan boleh diberikan pada masa ini atas dasar sub judice,” katanya dalam satu jawapan bertulis pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini, pada Selasa.

Walau bagaimanapun, Ahmad telah menyenaraikan senarai hasil yang dipungut dari Bumi di Bawah Bayu itu.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengutip hasil cukai langsung dan cukai tidak langsung dari Negeri Sabah yang merangkumi cukai pendapatan syarikat dan individu, cukai pendapatan petroleum, cukai keuntungan harta tanah, duti setem, duti import, duti eksport, duti eksais, cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

“Hasil bukan cukai pula seperti bayaran lesen, permit, denda, penalti dan sewaan dikutip oleh Jabatan/Agensi Persekutuan yang lain,” katanya.

Terdahulu, Madius dalam ucapan Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2023 meminta agar Kementerian Kewangan menjelaskan jumlah pungutan hasil yang bersih Persekutuan dari Sabah pada setiap tahun.

Beliau juga memohon agar pihak kementerian menyatakan setiap butiran hasil yang dipungut Persekutuan dari Sabah sama ada dalam bentuk cukai, dividen, levi atau apa-apa bentuk pungutan yang lain.