PRU15: Rakyat Sepanggar bijak pilih ‘Calon’ pada 19 November ini – Mohd Azis

KOTA KINABALU: Pengundi di Parlimen Sepanggar sangat bijak untuk memilih ‘Wakil Rakyat’ mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Calon Parti Warisan (WARISAN) Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, ini kerana sepanjang tempoh seminggu kempen berlangsung beliau berkesempatan menemui pelbagai lapisan pengundi di sekitar Sepanggar.

Katanya, pelbagai riaksi pengundi untuk terus memberi sokongan kepadanya untuk meneruskan perkhidmatan bagi penggal kedua di Parlimen Sepanggar.

“Saya sangat menghormati pandangan serta keikhlasan mereka untuk terus menyokong serta memilih calon daripada Parti Warisan sekali lagi mewakili mereka pada 19 November ini.

“Saya tetap cekal membantu rakyat ketika berada di pihak pembangkang dengan menggunakan dana sendiri. Saya tidak pernah lari daripada tanggungjawab sepertimana yang diperkatakan oleh pihak lawan.

“Inilah antara luahan sendiri pengundi di Parlimen Sepanggar ketika dalam tempoh seminggu kempen berlangsung.

“Saya hargai sangat-sangat mereka, ternyata pengundi di Sepanggar mengikuti perkembangan saya dalam media sosial serta dalam perbahasan di dalam Dewan Rakyat,” katanya dalam lawatan rumah ke rumah di Kampung Darau Manggatal di sini hari ini.

Mohd Azis berkata, jika diberikan mandat sekali lagi untuk menjadi Ahli Parlimen Sepanggar beliau tetap fokus akan membantu rakyat di peringkat akar umbi.

“Kawasan Parlimen Sepanggar sangat luas….Terletak di kawasan bandar sudah tentu keutamaan akan diberikan masalah kesesakan lalu lintas, bekalan air serta isu penempatan setinggan tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Mohd Azis berkata, tempoh lima hari sebelum hari pengundian ini gerak kerja kempen akan dipertingkatkan sekali gus memastikan fokus kepada isu dilontarkan pihak lawan.