PRU15: Pengumuman pembubaran langkah tepat – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Pengumuman pembubaran diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob langkah terbaik bagi memastikan kerajaan dipilih mendapat mandat sah daripada rakyat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan itu dilihat tepat pada masanya agar kerajaan baharu nanti dapat membawa kepada kestabilan politik di negara ini.

“Ini adalah merupakan sebahagian dari proses demokrasi yang perlu dihormati oleh seluruh rakyat serta semua parti politik di negara ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, pembubaran ini sudah akan menghentikan tohmahan beberapa pihak yang mendakwa kononnya kerajaan dipilih pada hari ini adalah kerajaan ‘Pintu Belakang dan Tebuk Atap.’

Bung berkata, belum pernah berlaku dalam sejarah satu penggal sama berlaku pertukaran tiga kali kerajaan serta Perdana Menteri.

“Ini menunjukkan keadaan politik negara tidak stabil sehingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

“PRU15 kali ini, rakyat perlu bijak memilih kerajaan untuk menerajui negara. Konsep fikir sebelum undi penting bagi mewujudkan kestabilan politik selain tidak mengulangi episod pada PRU14,” katanya.

Menurutnya,  pengundi perlu membuat keputusan terbaik untuk memilih pemimpin berkualiti bagi memulihkan kestabilan politik sekali gus memacu semula ekonomi negara.