PRU15: GRS siap sedia hadapi – Hajiji

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia menghadapi pilihan raya parlimen sekali gus memuktamadkan pembahagi kerusi dalam kalangan parti komponennya.

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji  Noor berkata, semua parti komponen GRS bersatu hati dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan mencapai beberapa persetujuan termasuk menggunakan simbol bersama.

Katanya, jentera pilihan raya sudah bersedia untuk diaktifkan semula dengan semua parti komponen membuat persiapan masing-masing dalam muafakat GRS.

“Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah,  kita mengulangi bahawa Kerajaan Negeri GRS-BN sekarang masih mempunyai tempoh tiga tahun untuk berkhidmat, justeru pembubaran tidak diperlukan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, semua negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor dinasihatkan supaya turut membubarkan DUN masing-masing supaya pilihan raya negeri mereka dapat diadakan serentak dengan PRU15.

Dalam perkembangan berkaitan Hajiji mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan dan jawatankuasa bantuan bencana turun padang bagi mengendalikan dan menilai kerosakan akibat banjir di sekitar ibu negeri malam tadi.

“Kita mengarahkan semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah berwaspada sepenuhnya bagi menghadapi cuaca buruk mungkin berlaku,” katanya.