Projek Tebatan Banjir Penampang berjalan mengikut jadual – Hajiji

PENAMPANG: Kerajaan negeri akan memastikan program tebatan banjir dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, setakat ini program tebatan banjir bagi daerah ini sedang berjalan lancar.

“Kerajaan akan memastikan projek ini disiapkan sekali gus dapat mengatasi masalah banjir di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir September di Pusat Kebudayaan Sabah di sini hari ini.

Semasa menziarahi mangsa banjir di Kampung Sugud sejurus selepas banjir pada September, Hajiji berkata, dua daripada tiga pakej tebatan banjir telah pun siap sepenuhnya.

Dalam perkembangan sama, Hajiji menggesa agar kesiapsiagaan menghadapi bencana di seluruh negeri berikutan musim tengkujuh Timur Laut bulan ini.

“Kita mengarahkan semua jawatankuasa pengurusan bencana daerah di negeri ini supaya sentiasa bersiap siaga dan meletakkan persiapan logistik termasuk pusat pemindahan sementara (PPS) di semua daerah,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga bekerjasama rapat dengan agensi Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), khususnya dalam menyalurkan bantuan dan peruntukan kewangan sekiranya berlaku bencana pada musim tengkujuh.

“Kerajaan akan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang mereka, selaras dengan semangat “Keluarga Malaysia” yang menggariskan tiga teras utama iaitu keterangkuman, titik persamaan dan kepuasan.

“Semoga bantuan kewangan daripada Kerajaan ini dapat meringankan beban mereka yang terjejas,” katanya.

Seramai 200 ketua isi rumah (KIR) daripada 937 KIR menerima bantuan tunai RM1,000 hari ini.

Selebihnya isi rumah yang terjejas banjir di daerah ini pada September lalu yang akan menerima bantuan itu dalam tempoh dua minggu.