Pencarian nelayan dilaporkan hilang diteruskan

PAPAR: Nazri Bidin, abang kepada nelayan yang dilaporkan hilang di laut dekat Pulau Dinawan di sini sejak Rabu terus berharap agar mangsa dapat ditemui dengan segera.

Halid Bidin, 33, dipercayai terjatuh daripada bot semasa menangkap ikan di pulau berhampiran Kampung Beringgis, di sini.

Halid telah keluar berseorangan menggunakan bot untuk menangkap ikan pada sekitar 2.30 petang dan dikatakan tidak balik ke rumah seperti kebiasaannya.

Keadaan cuaca baik pada ketika itu.

Nazri yang ditemui berkata, dirinya bersama rakan dan keluarga yang lain telah menggunakan 4 bot untuk mencari adiknya pada jam 6:30 petang di tempat biasa adiknya akan menangkap ikan iaitu di pulau berdekatan.

“Masa saya sampai rumah, bapa saya beritahu yang Halid belum balik. Memang masa itu, cuaca pun kurang baik, angin kuat dan ombak besar. Tapi, saya bersama kawan dan saudara saya tetap ikhtiar untuk cari adik saya. Dia adik saya, macam mana pun saya tetap akan cari dia,” katanya.

Nazri juga memaklumkan, dia menjumpai bot adiknya di pulau tersebut. Bagaimanapun, tidak terdapat sebarang kesan di bot berkenaan.

Katanya, beliau yakin adiknya terjatuh di kawasan lain dan botnya dipukul ombak memandangkan angin ketika itu kencang dan ombak bergelora.

Seorang lagi abang mangsa yang berada di lokasi, Aris Bidin juga berharap adik bongsu mereka, Halid, akan segera dijumpai.

“Kami sekeluarga sememangnya amat sedih. Namun, saya berharap semua ahli keluarga, rakan dan sanak saudara akan terus bersabar dan berdoa agar segala urusan pencarian Halid akan dipermudahkan,” kata Aris yang menitiskan air mata ketika ditemui di lokasi kejadian.

Agensi keselamatan seperti pihak polis, bomba dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bersama orang kampung juga kelihatan bertungkus-lumus bersepadu menjalankan operasi mencari dan menyelamat dalam misi kali ini sungguhpun cuaca hujan lebat dan angin kencang.