PRN Selangor: Jangan selesa, gunakan tempoh baki kempen tawan hati pengundi – Abdul Manan, KB UMNO Semporna

SELAYANG: Jentera kempen Barisan Nasional (BN) perlu meningkatkan gerak kerja mendekati pengundi menjelang baki tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Selangor.

Ketua Bahagian UMNO Semporna, Abdul Manan Indanan berkata, sikap terlalu selesa perlu dielakkan sekali gus perlu fokus terhadap isu pihak lawan serta berusaha menawan hati pengundi.

Katanya, jentera kempen BN perlu bijak menggunakan ruang sedia ada bagi menjelaskan isu dilontarkan pihak pembangkang agar pengundi kekal yakin memilih parti kerajaan pada 12 Ogos nanti.

“Perjalanan suasana kempen pada hari sebelum ini kelihatan agak hambar memandangkan kebanyakkan jentera parti bekerja pada siang hari.

“Namun itu bukan satu alasan…masih ada ruang serta kesempatan digunakan untuk bekerjasama bersama jentera Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan calon DUN Kuang, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib menang pada 12 Ogos ini nanti,” katanya di sini hari ini.

Abdul Manan berkata, DUN Kuang mempunyai 45,000 pengundi dengan UMNO Bahagian Semporna ditugaskan membantu jentera kempen BN di  tiga Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu Kampung Kuang, Kampung Cempaka dan Kampung Sungai Buloh bersama jentera PH di kawasan setempat.

“Menjelang baki beberapa hari lagi tempoh kempen PRN ini, kita yakin kedua jentera BN bersama PH akan melipatgandakan gerak kerja hersama khususnya mendekati pengundi muda yang menjadi penentu kepada keputusan PRN 12 Ogos nanti,” katanya.

DUN Kuang menyaksikan persaingan tiga penjuru dengan dua lagi calon adalah penyandang kerusi itu Sallehudin Amiruddin (Bebas) dan Mohd Rafiq Mohd Abdullah (PN).