TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata perpaduan masyarakat berbilang kaum dan etnik seperti di Malaysia perlu terus dipupuk serta dilindungi demi kebaikan negeri dan negara.
Beliau berkata, hanya melalui perpaduan negara dapat mencapai pertumbuhan ekonomi yang progresif dan kestabilan politik.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat negeri ini supaya bersatu dan bersama-sama melindungi serta mengukuhkan perpaduan di negara ini.
“Ia adalah tanggungjawab setiap warga negara untuk memastikan kemakmuran dan kemajuan akan terus dinikmati serta tidak diganggu elemen negatif,” katanya di sini hari ini.
Hajiji berkata, Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang adalah masa terbaik untuk menghayati patriotisme dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.
Jelasnya, tema Hari Kebangsaan tahun ini, ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, sesuai dengan perpaduan kaum dan toleransi yang menjadi tunjang dalam memelihara kemerdekaan negara.
Katanya, begitu juga dengan usaha Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pelan pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) memerlukan sokongan kukuh semua pihak.
“Dalam konteks ini, hubungan rapat, persefahaman, toleransi dan perpaduan dalam kalangan rakyat di semua peringkat sangat kritikal dalam menentukan kejayaan pembangunan di Sabah,” katanya.
Seiring dengan Bulan Kebangsaan, Hajiji turut menggesa rakyat negeri ini untuk mengambil inisiatif mengibar Jalur Gemilang dan mengganti bendera rosak dengan yang baharu.
Hajiji kemudian menyempurnakan pelepasan konvoi 17 kenderaan mewakili lapan agensi kerajaan dan swasta membabitkan 66 peserta, manakala daerah Tuaran diwakili 100 peserta dengan 25 kenderaan berkonvoi ke Kiulu, Tamparuli dan seterusnya ke arah Kudat.
Program Kembara Merdeka anjuran Jabatan Penerangan negeri itu akan melalui 2,300 kilometer perjalanan di seluruh Sabah sehingga 31 Ogos ini.