GOMBAK: Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Bung Moktar Radin menyelar kempen Perikatan Nasional (PN) menggunakan ungkapan tidak baik dan provokasi yang begitu melampau menggunakan agama.
“Ini cara kempen tidak baik dan kita tidak akan meniru cara mereka menggunakan istilah tidak baik bagi meraih sokongan.
“Pada saya, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu memberikan penjelasan yang nyata tentang kemajuan negara dan negeri dibawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan demi membantu rakyat,” katanya ketika ditemui pada Ceramah Perdana N13 Kuang di Kampung Kuang dekat sini, malam tadi.
Hadir sama, calon BN di DUN Kuang Datuk Hasnal Rezua Merican Bin Habib yang juga Ketua Bahagian UMNO Selayang.
DUN Kuang menyaksikan persaingan tiga penjuru dengan dua lagi calon adalah penyandang kerusi itu Sallehudin Amiruddin (Bebas) dan Mohd Rafiq Mohd Abdullah (PN).
Dalam pada itu, Bung yang juga Pengerusi Badan Pimpinan UMNO Sabah menyifatkan kempen PN menyatakan Kerajaan Perpaduan akan tumbang sekiranya PN menang di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini cuma imaginasi mereka dan tidak masuk akal.
Kataya tidak ada logiknya keputusan PRN di enam negeri ini menyumbang kepada penukaran Kerajaan Perpaduan.
“Yang pastinya ada baiknya kerajaan negeri sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan negeri itu secara bersama,” katanya.
Terdahulu pada ceramah perdana, Bung Moktar mahu jentera BN-PH terus mengekalkan momentum untuk berjumpa dengan pengundi di lapangan
“Jangan terlalu yakin dan mengambil mudah pada kempen di lapangan…kita mahu pastikan semua calon BN yang bertanding di 12 DUN di Selangor ini menang bersama calon-calon PH,” kata Bung Moktar.