PRN Sabah: GRS Tidak Bergantung Kepada Umno, Sedia Tanding Solo – Joniston

KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah bergantung sepenuhnya kepada Umno sekali gus bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) bertanding secara solo.

Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai berkata, Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin perlu menghentikan sikap angkuh seolah-olah GRS sangat terdesak untuk bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, ketika krisis politik ‘Langkah Kinabalu’ beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno enggan menyokong Bung Moktar sebaliknya menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajij Noor sekali gus bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH)

“Kalau ada sesiapa yang perlu muhasabah, itu adalah Bung. Kenapa rakan-rakan kamu sendiri tinggalkan ‘Langkah Kinabalu’?

“Kenapa PH sokong Hajiji dan bukannya kepada kamu? Jawapannya sangat jelas kepercayaan itu bukan pada kamu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Joniston merupakan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) turut mengingatkan bahawa partinya tidak akan lupa penghinaan Bung Moktar yang pernah melabel PBS sebagai ‘melukut di tepi gantang’.

“Kamu langsung tidak menghormati PBS atau sekutu-sekutu kamu, dan kini kamu mengharapkan kerjasama?

“Jangan terkejut jika rakyat Sabah terus menolak Umno sebagaimana berlaku di Semenanjung. Sabah bukanlah talian hayat politik kamu. Jangan jadikan negeri ini pelan sandaran kamu,” jelas Joniston.

Menurutnya, kenyataan Bung Moktar Radin dilihat sangat  angkuh serta tidak berpijak pada realiti politik yang kini berlaku di Sabah.

“Bung Moktar merupakan orang terakhir yang patut bercakap soal kesetiaan atau keikhlasan.

“Beliau pernah cuba menjatuhkan kerajaan yang beliau sendiri berada di dalamnya, semata-mata kerana kepentingan peribadi. Itu sudah cukup menggambarkan segalanya,” kata Joniston.

Beliau berkata, beliau menolak dakwaan Bung Moktar bahawa GRS mengkhianati BN sebaliknya menyifatkannya sebagai memutarbelit fakta serta cuba mengalihkan perhatian atas tindak-tanduknya sendiri.

“Bung Moktar sendiri berpakat bersama Parti Warisan serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) pada Januari 2023 untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Ini sangat jelas, bukan beliau yang dikhianati, sebaliknya beliaulah yang mengkhianat,” tambah Joniston.