PRN Sabah: 10 Calon PKR Tandatangani Aku Janji, Bon RM10 Juta

KOTA KINABALU: Sepuluh calon PKR yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) telah menandatangani surat aku janji mewakili parti, lengkap dengan bon perjanjian bernilai RM10 juta sekiranya melanggar amanah parti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata calon-calon berkenaan terdiri daripada gabungan bekas timbalan menteri, penjawat awam dan golongan profesional, yang menunjukkan komitmen mereka untuk berkhidmat kepada rakyat dan kawasan yang diwakili.

“Semoga komitmen 100 peratus calon kepada parti, pengundi dan kawasan diwakili dapat dilaksanakan sehingga berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR, memperkenalkan kesemua calon.

Beliau turut memaklumkan bahawa PH akan bertanding 23 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada PRN kali ini dengan menggunakan logo PH.