BN Sabah Umum 41 Calon – Dua Doktor Perubatan Antara Wajah Baharu

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini mengumumkan senarai 41 calon yang bakal menggalas amanah parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pengumuman itu mencerminkan komitmen parti untuk menampilkan barisan kepimpinan berwibawa, berkelayakan serta mencerminkan aspirasi rakyat.

Menurutnya, BN Sabah kali ini menampilkan dua calon doktor perubatan sebagai simbol kepakaran dan profesionalisme dalam memahami keperluan rakyat di lapangan.

“Selaras dengan tekad membawa pembaharuan dan memperkukuh hala tuju pembangunan negeri, BN Sabah menampilkan dua calon doktor perubatan iaitu Dr Shahnon Rizal Thaijuddin (DUN Sulaman) dan **Dr Elmiariezan Ardan (DUN Apas),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bung berkata, pemilihan dua tokoh perubatan itu membuktikan BN Sabah serius menampilkan calon yang berkualiti dari segi intelektual, kepakaran profesional, empati rakyat serta kemampuan memacu agenda sosial dan ekonomi negeri.

“Barisan calon yang diketengahkan kali ini juga diperkukuh dengan tahap pendidikan tinggi dan pengalaman luas dalam pelbagai bidang. Majoriti calon memiliki ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah,” katanya.

Beliau menambah, BN Sabah kekal komited memperjuangkan pembangunan luar bandar, infrastruktur, peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan rakyat serta memperkasa pendidikan dan modal insan.

“Insya-Allah, calon-calon ini mencerminkan tawaran menyeluruh BN untuk memastikan Sabah bergerak ke hadapan dengan lebih teratur, makmur dan inklusif,” jelasnya.

Katanya, barisan calon kali ini merupakan kombinasi pengalaman, ilmu, kemampuan teknokrat dan semangat baharu yang diperlukan untuk membawa Sabah ke arah masa depan yang lebih cerah dan berdaya saing.

📋 Senarai Penuh Calon BN Sabah PRU DUN ke-17

N.01 Banggi – Normalah Rasik

N.02 Bengkoka – Datuk Harun Durabi

N.03 Pitas – Datuk Bolkiah Ismail

N.04 Tanjung Kapur – Kevin Lee Sip Kin

N.08 Pintasan – Tadzul Radim

N.09 Tempasuk – Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan

N.10 Usukan – Datuk Seri Panglima Dr Mohd. Salleh Said Keruak

N.12 Sulaman – Dr Shahnon Rizal Thaijuddin

N.13 Pantai Dalit – Alfian Sambas

N.16 Karambunai – Datuk Yakubah Khan

N.17 Darau – Arfandy Abdul Rahman

N.24 Tanjung Keramat – Jeffery Noor Mohamed

N.28 Kawang – Datuk Jamal Norubit @ Nerub

N.29 Pantai Manis – Redzuan Ismail @ Gari

N.30 Bongawan – Datuk Mohamad Al-Amin

N.31 Membakut – Haji Rusman Dulamit

N.32 Klias – Haji Osin Haji Jilon

N.33 Kuala Penyu – Datuk Awang Aslee Laka

N.34 Lumadan – Datuk Mohd Nazri Abdullah

N.36 Kundasang – Japirin Sahadi

N.37 Karanaan – Nadzmin Kamin

N.38 Paginatan – Datuk Haji Jemadi @ Junaidi Sahat

N.41 Liawan – Datuk Nik Mohd Nadzri Haji Nik Zawawi

N.45 Sook – Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup

N.46 Nabawan – Lajji Ompongoh

N.47 Telupid – Benedict Asmat

N.48 Sugut – Mohammad Arifin Pachuk

N.50 Labuk – Yusuf Latif

N.51 Sungai Manila – Zaini Tiksun

N.52 Sungai Sibuga – Datuk Suhaimi Nasir

N.53 Sekong – Mohd Zharif Aizat Samsuddin

N.58 Lamag – Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin

N.59 Sukau – Datuk Jafry Ariffin

N.60 Tungku – Hajah Saleha Wahid

N.62 Silam – Sharif Musa Sharif Mabul

N.63 Kunak – Dato’ Sri Anil Jeet Singh

N.66 Bugaya – Abdul Manan Indanan

N.67 Balung – Erwan Palateh

N.68 Apas – Dr Elmiariezan Ardan

N.71 Tanjung Batu – Haji Samsasuddin Yusop

N.73 Sebatik – Aslan Fadli Samsul Alang