JOHOR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan pengundi di Johor khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram agar memilih secara bijak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.
Katanya, BN dan Umno sudah bersedia menggalas tugas serta amanah memimpin di negeri tersebut.
“Kepada pengundi, bukan saja di DUN Tiram malah di seluruh Johor pada 12 Mac ini anda semua ada satu pilihan iaitu untuk menentukan hala tuju serta masa depan negeri Johor.
“Kita perlu ambil peluang serta menggunakannya secara bijaksana untuk memilih parti yang baik.
“Saya mencadangkan BN dan Umno pilihan utama anda kerana parti ini sangat berpengalaman serta bersiap bersedia untuk menggalas amanah dan tugas baik.
“Kepada semua pengundi Johor gunakan akal fikiran yang waras sekali gus pilihlah kerajaan yang baik daripada kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap perjumpaan bersama Pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pasir Putih semalam.
Bung Moktar berkata, rakyat khususnya pengundi muda jangan lagi terpadaya dengan janji dan dakyah pembangkang yang gagal menunaikan manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU14).