PPZ-MAIWP Labuan terima bayaran zakat korporat lebih RM788,000

LABUAN:Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ- MAIWP) Labuan menerima bayaran zakat korporat (perniagaan)  daripada sembilan syarikat berjumlah RM788,106.02 bagi tahun 2023.

Antara syarikat yang membuat pembayaran  Zakat Korporat bagi tahun 2023 itu ialah Maybank International Cawangan Labuan, AFR Asia Pacifik Limited,  Asian Supply Base Sdn. Bhd., Klinik Bakti,  Cahayapack Sdn. Bhd. dan Preston Shipyard Sdn. Bhd.

Tiga lagi syarikat yang membuat bayaran l zakat korporat itu ialah Desa 7 Resources Sdn. Bhd., Tunas Rakyat Sdn. Bhd (D’One Mart) dan Victoria Food (Marrybrown Labuan).

Kesemua wakil syarikat terbabit membuat pembayaran pada Majlis  Zakat Korporat 2023 dan Majlis Penyampaian Hadiah Kesedaran Zakat Simpanan dan Wakaf Tunai Peringkat Labuan di sini, semalam.

Pengurus Besar Operasi Luar PPZ-MAIWP, Fahmi Ismail menerima bayaran itu bagi pihak PPZ MAIWP yang disaksikan oleh Pengurus MAIWP Labuan Md Fadzli Md Saad.

Terdahulu, Fahmi ketika berucap pada majlis itu berkata, PPZ MAIWP telah nenyasarkan peningkatan  kutipan zakat perniagaan   sebanyak 50 peratus daripada hasil kutipan berjumlah RM800,000 kepada RM1.2 juta.

“Pada tahun ini kita menjangkakan kutipan zakat perniagaan di Labuan meningkat sebanyak 50 peratus iaitu daripada RM800,000 kepada RM 1.2 juta,” katanya.

Beliau turut menyeru  umat Islam membantu  PPZ-MAIWP memperkuatkan  usaha dakwah dan kutipan zakat bagi memastikan dana zakat mencukupi untuk diagihkan kepada asnaf yang memerlukan.

Dalam pada itu Fahmi menjelaskan, zakat korporat atau zakat perniagaan adalah salah satu daripada jenis jenis zakat harta yang diwajibkan ke atas syarikat pemilikan penuh atau sebahagian pemilikannya adalah muslim jika keuntungan syarikat melebih nisbah iaitu RM21,626.